Hubungan luar dan tentera United_Kingdom

Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di Sidang Kemuncak G-20 Toronto 2010.

United Kingdom ialah sebuah anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, anggota Negara-Negara Komanwel, G8, G7, G20, NATO, OECD, WTO, Majlis Eropah, OSCE, dan Kesatuan Eropah. UK memberikan penekanan penting kepada “Hubungan Istimewanya” bersama Amerika Syarikat.[78] Britain juga bersekutu erat dengan negara-negara anggota Kesatuan Eropah dan NATO, negara-negara Komanwel dan lain-lain seperti Jepun. Kehadiran dan pengaruh global Britain diluaskan lagi melalui hubungan perdagangan, bantuan pembangunan rasmi, dan angkatan tenteranya yang berpangkalan di sekurang-kurangnya 20 kedudukan tentera di serata dunia (tepat pada tahun 2008).[79]

United Kingdom menurunkan salah sebuah angkatan bersenjata yang paling terlatih dan berteknologi paling maju di dunia.[80][81] Menurut pelbagai sumber, termasuk Kementerian Pertahanan, UK mencatat perbelanjaan ketenteraan ketiga atau keempat tertinggi di dunia, walaupun sekadar memiliki jumlah kakitangan tentera ke-25 teramai. Jumlah perbelanjaan ketenteraan kini memakan 2.5% jumlah KDNK negara.[82] Angkatan Tentera British (HM Armed Forces) terdiri daripada Tentera Darat British, Tentera Laut Diraja dan Tentera Udara Diraja. Ketiga-tiga angkatan ini diuruskan oleh Kementerian Pertahanan dan diselia oleh Majlis Keselamatan (Defence Council) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Negara (Secretary of State for Defence).

Angkatan Tentera British dipertanggungjawabkan melindungi United Kingdom dan wilayah-wilayahnya di seberang laut, memupuk kepentingan keselamatan United Kingdom di serata dunia, serta menyokong usaha pengamanan antarabangsa. Tentera British bergiat dalam operasi-operasi campuran antarabangsa seperti NATO, Perjanjian Pertahanan Lima Negara, RIMPAC, dan sebagainya. Garison dan kemudahan tentera seberang laut didirikan di Pulau Ascension, Belize, Brunei, Kanada, Diego Garcia, Kepulauan Falkland, Jerman, Gibraltar, Kenya, Cyprus, dan Qatar.[83]

Tentera British menyertai Angkatan Bantuan Keselamatan Antarabangsa di Afghanistan

UK memiliki tentera udara dan laut terbesar dalam rantau EU dan yang kedua terbesar dalam NATO. Tentera Laut Diraja ialah salah satu daripada tiga buah tentera laut air biru, di samping Tentera Laut Perancis dan Tentera Laut Amerika Syarikat.[84] Pada awal tahun 2009, Tentera Darat British melaporkan jumlah perajurit seramai 105,750 orang, Tentera Udara Diraja 43,300 orang, dan Tentera Laut 38,160 orang.[85]

Terdapat angkatan simpanan yang menyokong tentera yang aktif, termasuklah Tentera Wataniah (Territorial Army), the Tentera Laut Simpanan Diraja (Royal Naval Reserve), Tentera Marin Simpanan Diraja (Royal Marines Reserve) dan Tentera Udara Bantuan Diraja (Royal Auxiliary Air Force). Maka itulah, jumlah kakitangan tentera aktif dan simpanan adalah seramai 404,090 orang.[85]

Walau betapa hebat keupayaan tentera United Kingdom sendiri, namun dasar pertahanan pragmatik dewasa ini menyatakan anggapan bahawa perlunya menyertai campuran untuk “operasi-operasi yang paling mendesak”[86], seperti di Bosnia, Kosovo, Afghanistan dan Iraq. Kali terakhir tentera British berjuang sendirian dalam peperangan adalah sewaktu Perang Falkland pada tahun 1982 menentang Argentina.